Saturday 31 March 2012

PENGERTIAN TAMADUN ISLAM





Menurut Profesor Syed Naquib Al-Attas, Tamadun Islam membawa satu takrif
 “ keadaan kehidupan insan bermasyarakat yang telah mencapai taraf kehalusan tatasusila dan kebudayaan yang luhur bagi seluruh masyarakat.”

Ibnu Khaldun menghuraikan maksud peradaban atau Tamadun Islam ini sebagai
 pencapaian manusia yang sudah melebihi keperluan asasi kehidupan sehingga dapat membuka jalan ke arah pemikiran dan penghasilan daya cipta yang lebih halus dan mempunyai nilai-nilai seni.

Dari sudut bahasa Arab, terdapat beberapa istilah yang digunakan dalam konteks Tamadun Islam iaitu madaniah, tamadun, hadarah dan umran

Ibnu Khaldun dalam kitabnya Al-Muqaddimah cenderung menggunakan istilah umran yang membawa maksud perbandaran daripada istilah yang lain dalam memberi gambaran berhubung dengan tamadun Islam.

     Secara umumnya, tamadun Islam difahami sebagai segala kemajuan yang dicapai dalam ketiga-tiga bidang  (kesenian, ilmu pengetahuan dan peradaban) dirujuk kepada sumber Islam (Al-Quran dan Al-Hadith) dan bahasa umat berkenaan iaitu bahasa al-Qur'an atau bahasa Arab. Keadaan tersebut diwarisi daripada generasi kepada generasi lain dengan berlaku penambahbaikan, peningkatan pencapaian atau perubahan. Bergerak dengan petunjuk wahyu, umat Islam telah berjaya menempa pencapaian yang cemerlang sama ada dalam skop fardhu 'ain mahupun dari skop fardhu kifayah. Dengan kata lain, tamadun Islam pernah mengalami zaman keemasan dan menjadi model kepada bangsa lain dalam pelbagai bidang kehidupan manusia.

     Para sarjana Islam seperti Ahmed Essa dan Othman Ali (2010) dalam "Study in Islamic Civilization: The Muslim Contribution and the Renaissance" menjelaskan bahawa tamadun Islam didefinisikan sebagai peraturan keagamaan yang melahirkan kebudayaan masyarakat yang berteraskan kepada wahyu. Pedoman wahyu tersebut menjadi obor kepada seluruh bidang keperluan manusia yang merentasi kehidupan dunia dan akhirat. Pandangan lain pula yang dikemukakan oleh Ali A.Alawi (2009) menerusi karyanya "The Crisis of Islamic Civilization" berpendapat bahawa tamadun Islam memberi maksud setiap perkara yang menyumbang kepada kebudayaan yang memberi penekanan kepada aspek keseimbangan diantara fizikal dan spiritual.

     Di samping itu, perkataan Hadarah juga digunakan untuk menjelaskan tentang tamadun Islam. Istilah ini digunakan oleh :

'Ali Husni al-Khurbutuli (1966) dalam karyanya yang berjudul "al-'Arab wa al-Hadarah". 
 (hadarah dalam penulisan ini memfokuskan kepada kebudayaan Islam)

Kurd Ali (1968) dalam "al-Islam wa al-Hadarah al-'Arabiyyah" ;
Mustafa al-Siba'i (2000) dalam "Muqaddimat Hadarah al-Islami".
(menerimapakai istilah hadarah dalam mengemukakan konsep tamadun Islam)

Sayyid Ismail 'Ali dalam bukunya "A'alam Tarbiyyah fi al-Hadarah al-Islamiyyah".
(cenderung kepada istilah hadarah dalam mengupas konsep berkaitan dunia tamadun Islam)

     Istilah tamadun juga dikenali dengan "madaniyah". Menurut Wahbah Zuhayli (1998), madaniyyah lebih hampir kepada makna kebudayaan. Ia merangkumi makna yang memenuhi tuntutan fizikal, spiritual, ideologi dan moral.
     Penggunaan istilah madaniyyah telah digunakan oleh ramai sarjana islam antaranya ialah :

Abu Nasr, al-Farabi (1986),"Kitab Siyasah al-Madaniyyah: al-Mulaqqab bi-Mabadi al-Maujudat";
Muhammad Rida (1986), "al-Islam wa al-Madaniyah" ;
Muhammad Abduh (1961) "al-Islam, al-Din wa 'Ilm al-Madaniyyah".

     Rumusannya, meskipun terdapat perbezaan pendapat para ilmuan dalam membahaskan berkaitan tamadun Islam yang merujuk kepada umran, tamadun, hadarah dan madaniyah , namun perbezaan tersebut bukanlah satu perpecahan yang besar dalam disiplin ilmu. Istilah yang popular dan diterima oleh umum ialah tamadun yang mirip kepada pengertian "civilization".

     Pengertian yang lebih khusus kepada tamadun Islam iaitu pencapaian manusia dalam pelbagai aspek kehidupan yang diimbangi dengan neraca kesepaduan wahyu yang holistik sifatnya. Keseimbangan ini penting disebabkan matlamat akhirnya ialah untuk mendapatkan kebaikan, kejayaan "hasanah" di dunia dan akhirat.



      









No comments:

Post a Comment