Saturday 31 March 2012

PENGERTIAN TAMADUN ISLAM





Menurut Profesor Syed Naquib Al-Attas, Tamadun Islam membawa satu takrif
 “ keadaan kehidupan insan bermasyarakat yang telah mencapai taraf kehalusan tatasusila dan kebudayaan yang luhur bagi seluruh masyarakat.”

Ibnu Khaldun menghuraikan maksud peradaban atau Tamadun Islam ini sebagai
 pencapaian manusia yang sudah melebihi keperluan asasi kehidupan sehingga dapat membuka jalan ke arah pemikiran dan penghasilan daya cipta yang lebih halus dan mempunyai nilai-nilai seni.

Dari sudut bahasa Arab, terdapat beberapa istilah yang digunakan dalam konteks Tamadun Islam iaitu madaniah, tamadun, hadarah dan umran

Ibnu Khaldun dalam kitabnya Al-Muqaddimah cenderung menggunakan istilah umran yang membawa maksud perbandaran daripada istilah yang lain dalam memberi gambaran berhubung dengan tamadun Islam.

     Secara umumnya, tamadun Islam difahami sebagai segala kemajuan yang dicapai dalam ketiga-tiga bidang  (kesenian, ilmu pengetahuan dan peradaban) dirujuk kepada sumber Islam (Al-Quran dan Al-Hadith) dan bahasa umat berkenaan iaitu bahasa al-Qur'an atau bahasa Arab. Keadaan tersebut diwarisi daripada generasi kepada generasi lain dengan berlaku penambahbaikan, peningkatan pencapaian atau perubahan. Bergerak dengan petunjuk wahyu, umat Islam telah berjaya menempa pencapaian yang cemerlang sama ada dalam skop fardhu 'ain mahupun dari skop fardhu kifayah. Dengan kata lain, tamadun Islam pernah mengalami zaman keemasan dan menjadi model kepada bangsa lain dalam pelbagai bidang kehidupan manusia.

     Para sarjana Islam seperti Ahmed Essa dan Othman Ali (2010) dalam "Study in Islamic Civilization: The Muslim Contribution and the Renaissance" menjelaskan bahawa tamadun Islam didefinisikan sebagai peraturan keagamaan yang melahirkan kebudayaan masyarakat yang berteraskan kepada wahyu. Pedoman wahyu tersebut menjadi obor kepada seluruh bidang keperluan manusia yang merentasi kehidupan dunia dan akhirat. Pandangan lain pula yang dikemukakan oleh Ali A.Alawi (2009) menerusi karyanya "The Crisis of Islamic Civilization" berpendapat bahawa tamadun Islam memberi maksud setiap perkara yang menyumbang kepada kebudayaan yang memberi penekanan kepada aspek keseimbangan diantara fizikal dan spiritual.

     Di samping itu, perkataan Hadarah juga digunakan untuk menjelaskan tentang tamadun Islam. Istilah ini digunakan oleh :

'Ali Husni al-Khurbutuli (1966) dalam karyanya yang berjudul "al-'Arab wa al-Hadarah". 
 (hadarah dalam penulisan ini memfokuskan kepada kebudayaan Islam)

Kurd Ali (1968) dalam "al-Islam wa al-Hadarah al-'Arabiyyah" ;
Mustafa al-Siba'i (2000) dalam "Muqaddimat Hadarah al-Islami".
(menerimapakai istilah hadarah dalam mengemukakan konsep tamadun Islam)

Sayyid Ismail 'Ali dalam bukunya "A'alam Tarbiyyah fi al-Hadarah al-Islamiyyah".
(cenderung kepada istilah hadarah dalam mengupas konsep berkaitan dunia tamadun Islam)

     Istilah tamadun juga dikenali dengan "madaniyah". Menurut Wahbah Zuhayli (1998), madaniyyah lebih hampir kepada makna kebudayaan. Ia merangkumi makna yang memenuhi tuntutan fizikal, spiritual, ideologi dan moral.
     Penggunaan istilah madaniyyah telah digunakan oleh ramai sarjana islam antaranya ialah :

Abu Nasr, al-Farabi (1986),"Kitab Siyasah al-Madaniyyah: al-Mulaqqab bi-Mabadi al-Maujudat";
Muhammad Rida (1986), "al-Islam wa al-Madaniyah" ;
Muhammad Abduh (1961) "al-Islam, al-Din wa 'Ilm al-Madaniyyah".

     Rumusannya, meskipun terdapat perbezaan pendapat para ilmuan dalam membahaskan berkaitan tamadun Islam yang merujuk kepada umran, tamadun, hadarah dan madaniyah , namun perbezaan tersebut bukanlah satu perpecahan yang besar dalam disiplin ilmu. Istilah yang popular dan diterima oleh umum ialah tamadun yang mirip kepada pengertian "civilization".

     Pengertian yang lebih khusus kepada tamadun Islam iaitu pencapaian manusia dalam pelbagai aspek kehidupan yang diimbangi dengan neraca kesepaduan wahyu yang holistik sifatnya. Keseimbangan ini penting disebabkan matlamat akhirnya ialah untuk mendapatkan kebaikan, kejayaan "hasanah" di dunia dan akhirat.



      









CIRI-CIRI TAMADUN ISLAM


Menurut Prof. Ahmad Shalaby ciri-ciri tamadun Islam seperti berikut :

1.      Budaya berfikir ke arah kemajuan pada perkara-perkara positif (al-Thaqafah).
2.      Pencapaian dalam bidang ilmu yang memerlukan percubaan dan latihan amali (al-Madaniyah)
3.   Gabungan pencapaian serentak dari segi budaya berfikir ke arah kemajuan dalam hal-hal kebaikan dan        bidang ilmu yang memerlukan percubaan (al-Hadarah atau Tamadun)

Umumnya, perincian tentang ciri-ciri yang disebutkan di atas adalah seperti berikut :

1.       Budaya Berfikir (al-Thaqafah)
     Mengandungi semua bidang termasuk undang-undang dan politik, akhlak dan kelakuan dan lain-lain. Manusia yang mempunyai budaya berfikir ialah mereka yang mempunyai kemampuan mangubah nasib diri sendiri dari menjadi orang yang patuh kepada kehendak nafsu atau naluri kepada orang yang bertindak berlandaskan pemikiran yang bijak dan   mantap (rasional dan berfakta).

2.       Ilmu yang Bercirikan Bandar (al-Madaniyah)
     Membina sesuatu yang boleh menaik tarafkan sesebuah kehidupan untuk lebih sempurna. Ia   perlu diimbangi dengan pembangunan yang bersifat lahiriah dan batiniah. Ketempangan dalam memenuhi kedua-dua aspek tersebut mengakibatkan berlakunya kecacatan yang boleh memberi kesan kepada pembangunan kemanusiaan.

3.       Tamadun (al-Hadarah)
    Ia mengandungi unsur pembangunan yang istimewa dalam kehidupan umat manusia yang dibangunkan di kampung atau di bandar dari segi kehidupan yang seni dan tersusun pada aspek pekerjaan, kemasyarakatan, ilmu pengetahuan, dan bidang-bidang pembuatan dan sebagainya. Ibn Khaldun menegaskan bahawa manusia yang membina tamadun, “mereka mencapai tahap ketinggian dalam bidang ilmu terlebih dahulu sebelum dari segi kebendaan”. Kesempurnaan dari aspek fizikal (profane) semata-mata tanpa dibangunkan asas-asas tamadun Islam seperti akidah, akhlak dan ilmu menyebabkan masyarakat hanya mengejar kepentingan kebendaan semata-mata. Kecanggihan dan kemodenan dalam sesebuah masyarakat hanyalah bersifat kuantitatif dan akan sentiasa mengalami perubahan dari semasa ke semasa.

Thursday 29 March 2012

DEFINISI SEJARAH!

Perkataan sejarah (history) yg digunakan pada masa kini berasal daripada perkataan Arab iaitu "Syajaratun" yang bermaksud pohon. Dari sudut lain pula, istilah "history" merupakan terjemahan daripada perkataan Yunani iaitu "histories" yang bermaksudsatu penyelidikan ataupun kajian.

Mengikut pandangan "Bapa Sejarah" iaitu Herodotus, sejarah ialah satu kajian untuk menceritakan satu kitaran jatuh bangunnya seseorang tokoh, masyarakat dan peradaban. Mengikut definisi yang telah diberikan oleh Aristotle, bahawa sejarah merupakan satu sistem yang mengira kejadian semulajadi dan tersusun dalam bentuk kronologi. Pada masa yang sama, menurut beliau sejarah juga adalah peristiwa-peristiwa masa lalu yang menpunyai catatan, rekod-rekod atau bukti-bukti yang kukuh.

Menurut R. G. Collingwood, sejarah ialah sejenis bentuk penyelidikan atau suatu penyiasatan tentang perkara-perkara yang telah dilakukan oleh manusia pada masa lampau. Manakala Shefer pula berpendapat bahawa sejarah adalah peristiwa yang telah lepas dan benar-benar berlaku. Sementara itu, Drs. Sidi Gazalba cuba menggambarkan sejarah sebagai masa lampau manusia dan persekitarannya yang disusun secara ilmiah dan lengkap meliputi urutan fakta masa tersebut dengan tafsiran dan penjelasan yang memberi pengertian dan kefahaman tentang apa yang berlaku. Sebagai usaha susulan dalam memahami sejarah, Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka telah mendifinisikan sejarah sebagai asal-usul, keturunan, salasilah, peristiwa yang benar-benar berlaku pada waktu yang lampau, kisah, riwayat, tambo, tawarikh dan kajian atau perngetahuan mengenai peristiwa yang telah berlaku.